PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Anwar Hussin
anwarhussin@bh.com.my


TUN Dr Mahathir Mohamad akan menerima dua anugerah utama ketika melakukan lawatan rasmi ke Qatar yang bermula esok.

Perdana Menteri yang melakukan kunjungan pertamanya ke negara ini sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun lalu akan memperoleh anugerah di Doha Forum dan juga Universiti Qatar.

Kuasa Usaha Kedutaan Besar Malaysia di Qatar, Mohamad Shahir Sabarudin berkata, Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al-Thani akan menyampaikan anugerah kepada Dr Mahathir di Doha Forum pada Sabtu ini.

Ia adalah anugerah pertama yang dikurniakan kepada mana-mana pemimpin atau individu sejak Doha Forum dianjurkan pada tahun lalu.

“Ia bagi menghargai Perdana Menteri dalam aspek kepemimpinan dan juga kejayaannya membangunkan Malaysia dan peranannya di peringkat antarabangsa.

“Kehadiran Tun Dr Mahathir ini juga dinantikan masyarakat Qatar dan Perdana Menteri akan menerima satu lagi anugerah dari Universiti Qatar yang juga universiti terkemuka di negara ini.

“Dr Mahathir akan dianugerah Ijazah Kedoktoran Kehormat dalam bidang falsafah,” katanya kepada wartawan Malaysia di Doha, hari ini.

Dalam lawatan rasmi empat hari ini, Dr Mahathir akan mengunjungi Sheikh Tamin di istananya pada Khamis ini selain jadual yang padat dengan menemui pemain industri di Qatar.

Dr Mahathir juga akan menemui Pengerusi Qatar Foundation, Sheikha Moza Nasser Al Missned yang juga Permaisuri Emir Qatar, pada Khamis ini. Qatar Foundation kini menaja pendidikan penuntut Malaysia di negara ini.

Selain itu, Mohamad Shahir berkata, Qatar yang juga rakan niaga kelima terbesar di Asia Barat dan jumlah dagangan Malaysia-Qatar bernilai RM3.72 bilion pada 2018 dan ia meningkat berbanding tahun 2017 (RM3.19 bilion).

Eksport utama Malaysia ke Qatar termasuklah barangan elektrik dan elektronik, mesin, kelengkapan dan peralatan, pengeluaran logam, produk kayu dan makanan diproses.

Dari Qatar, Malaysia mengimport terutamanya petroleum mentah, kimia dan produk kimia dan penghasilan logam.

Qatar kini banyak memberi tumpuan kepada sektor pembinaan dan kemudahan infrastruktur di bandar raya ini terutama sebagai persediaan menjadi hos kejohanan Piala Dunia FIFA pada 2022 membabitkan pembinaan lapan stadium baharu dan menaik taraf beberapa stadium sedia ada.

“Qatar mempunyai hampir 3 juta penduduk dan daripada jumlah itu hanya 300,000 rakyat asal manakala baki adalah warga asing,” katanya.

Malaysia mula menjalin hubungan diplomatik dengan Qatar pada 1974 dan hubungan dua hala itu diperkukuhkan dengan pembukaan pejabat kedutaan di sini pada Ogos 2004, disusuli pembukaan kedutaan Qatar di Kuala Lumpur pada September tahun yang sama.

Mohamad Shahir berkata, pada masa ini terdapat 5,000 rakyat Malaysia yang menetap di Qatar dengan kebanyakannya bekerja dengan syarikat penerbangan Qatar Airways, dalam sektor pendidikan serta industri petroleum.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 5:47 PM