MUHAMMED Yusoff Rawther. FOTO Arkib NSTP.
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


MUHAMMED Yusoff Rawther selesai memberi keterangan buat kali kedua selama tiga jam, berhubung siasatan dakwaan perlakuan tidak senonoh terhadapnya oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau tiba di Bukit Aman pada 12 tengah hari bersama seorang wanita dipercayai ahli keluarga tanpa ditemani peguam Datuk Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan dilihat keluar dengan kenderaan pada 3.30 petang.

Mohamed Haniff berkata, kehadiran Muhammed Yusoff hari ini adalah bagi menyambung keterangan yang sudah diberinya semalam.

Katanya, keterangan itu diambil bermula 12.30 tengah hari dan tamat pada 3 petang.

“Beliau (Muhammed Yusoff) tetap memberi kerjasama penuh kepada polis dan bersedia memberi keterangan dari semasa ke semasa mengikut permintaan pihak polis, bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan pihaknya memanggil Muhammed Yusoff bagi membantu siasatan.

Katanya, pihaknya akan memaklumkan jika perlu memanggil individu lain untuk memberi keterangan.

Harian Metro semalam melaporkan Muhammed Yusoff Rawther selesai memberi keterangan selama tujuh jam di Bukit Aman bagi membantu siasatan dakwaan perlakuan tidak senonoh terhadapnya oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Muhammed Yusoff yang memberi keterangan bermula 2 petang diiringi peguamnya, Datuk Mohamed Haniff Khatri Abdulla, keluar pada 9.15 malam.

Berita berkaitan

7 jam beri keterangan [METROTV]

'6 jam sudah berlalu...'

'Hantar notis tuntutan sekali lagi'

'Ini muslihat untuk jatuhkan imej saya'

Polis akan panggil Muhammad Yusoff Rawther

Anwar lapor polis

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 5:10 PM