Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah. FOTO Arkib NSTP.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan keluarga.

Ia berikutan pemergian ayahanda beliau Datuk Wan Ismail Wan Mahmood, 93, hari ini.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, baginda berdua turut menzahirkan rasa simpati dan sedih terhadap pemergian Allahyarham serta berharap keluarganya tabah menghadapi suasana pilu itu.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Ketika ini Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berada di London atas lawatan rasmi hingga 16 Disember ini.

Jenazah Wan Ismail selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Ukay Perdana, Ampang, pada 11.15 pagi.

Arwah meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2.30 pagi di kediamannya di Taman Ampang Utama.

Berita berkaitan

Jenazah bapa Dr Wan Azizah selamat dikebumi

Bapa TPM meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 4:16 PM