TIMBALAN Pengarah Kanan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Hasliza Abdul Hamid (dua dari kiri) bersama wakil penaja melepaskan ikan patin untuk pertandingan memancing JPKL 2019 di Taman Tasik Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur, Ahad ini. FOTO ihsan DBKL.
Zaharah Anum Mohd Tuah
am@hmetro.com.my


HADIAH wang tunai RM30,000 dan dua motosikal menanti peserta Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) di Taman Tasik Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur, Ahad ini.

Selain itu, tiga unit televisyen, 40 cabutan bertuah dan 900 baju T bakal menjadi milik pemancing pada pertandingan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tahun kelapan siri 10/2019 itu.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd Nazam Harun, berkata kira-kira 1,500 pemancing dijangka menyertai sirkit terakhir JPKL tahun ini selepas sembilan lokasi siri jelajah.

Beliau berkata, bertepatan dengan slogan bertemakan ‘Jom Pancing Rakyat Ceria Komuniti Sejahtera’, warga kota diharap dapat menjadikan pertandingan itu sebagai antara aktiviti riadah bersama keluarga.

“Saya berpuas hati dengan penganjuran masuk tahun kelapan ini kerana ia menghimpunkan pelbagai bangsa, usia dan pembabitan keluarga yang menjadi penyokong setia.

“Acara ini akan mengisi kalendar tahunan DBKL dan saya harap program ini dapat diteruskan selepas ini,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mohd Nazam berkata, pertandingan memancing itu bertujuan memperkenalkan taman tasik rekreasi untuk dimanfaatkan warga kota dengan aktiviti sihat.

Beliau berkata, banyak aktiviti sihat boleh dijalankan di taman rekreasi dan pertandingan memancing antara satu daripadanya.

Juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai RM12,000, naib juara RM3,000 manakala pemenang tempat ketiga, RM1,000.

Pemenang keempat menerima RM400 manakala kelima hingga ke-10 akan menerima RM200 dan pemenang tempat ke-11 hingga ke-120, masing-masing menerima RM100.

Yuran pertandingan adalah RM60 untuk sebatang joran dan sebanyak 1,000 botol air Oyoshi akan diberikan percuma kepada peserta terawal mendaftar.

Pendaftaran boleh dilakukan di meja urus setia pertandingan di Khemah Urusetia, Tasik Metropolitan pada 14 Disember ini bermula 1 tengah hari hingga 8 malam dan hari pertandingan sebelum jam 6.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 4:07 PM