Muhamad Izwan Hafies diiring anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini. Foto Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

BURUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana mengugut mahu membakar rumah bapanya.

Tertuduh, Muhamad Izwan Hafies Mat Jusoh, 24, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mahu membakar rumah Mat Jusoh Abdullah, 57, di Batu Rakit, Kuala Nerus pada 4.15 petang, 6 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 24 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian itu, lelaki berkenaan didakwa mengugut mahu membakar rumah selepas bengang permintaannya untuk mendapatkan wang tidak diendahkan mangsa.

Selain itu, dia turut membaling botol kaca dan sebiji buah kelapa ke arah mangsa dan isterinya yang juga ibunya sendiri sebelum satu laporan dibuat mangsa di Balai Polis Batu Rakit untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 3:56 PM