ANGGOTA Penguatkuasa Jabatan Imigresen (Imigresen) Kelantan yang menjalankan Op Bersepadu (Bina, Selera, Belanja dan Sapu) berjaya menahan 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam lingkungan usia dua hingga 50 tahun membabitkan enam lokasi iaitu tapak pembinaan, kedai makan dan rumah kediaman sekitar Kota Bharu dan Wakaf Bharu, Tumpat. FOTO Ihsan JIM
Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my


WANITA warga Kemboja meraung sambil merayu supaya lima anaknya tidak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) ketika serbuan di rumah sewa di Kampung Pulau Kundor, Kota Bharu, awal pagi hari ini.

Raungan wanita berusia 49 tahun itu semakin kuat seperti diserang histeria sebaik semua anaknya berusia 14 hingga 28 tahun itu dibawa menaiki kenderaan jabatan.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen (Imigresen) Kelantan, Penolong Pengarah Imigresen Ruzaana Mohamed berkata, keluarga itu dipercayai menetap di rumah sewa berkenaan sejak lebih setahun lalu.

“Ketika diserbu kira-kira 2 pagi tadi, semua ahli keluarga seramai tujuh orang itu sedang tidur dan selepas menjalankan pemeriksaan, kami dapati wanita dan suaminya memiliki dokumen sah, manakala lima anaknya tiada sebarang pengenalan diri.

“Dalam usaha menahan mereka, wanita terbabit menangis sambil merayu anaknya tidak ditahan.

“Bagaimanapun, kami tidak berkompromi dan terus membawa lima anaknya menaiki kenderaan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Ruzaana berkata, Op Bersepadu (Bina, Selera, Belanja dan Sapu) yang dimulakan pada 4.30 petang semalam dan berakhir 2.30 pagi tadi itu membabitkan enam lokasi iaitu tapak pembinaan, kedai makan dan rumah kediaman sekitar Kota Bharu dan Wakaf Bharu, Tumpat.

“Kita berjaya menahan 21 lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam lingkungan usia dua hingga 50 tahun terdiri daripada warga Kemboja, Bangladesh, Indonesia, Thailand dan Pakistan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan salah guna pas.

“Semua PATI itu kini ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 3:52 PM