Tertuduh, Mohd Rashimi Ab Rashid, 38, didakwa di Mahkamah Majistret kerana memukul isterinya. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


TUKANG paip dijatuhi hukuman penjara tiga bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana memukul isterinya selepas bengang wanita terbabit tidak mengendahkannya walaupun dipanggil berulang kali.

Bagaimanapun, Majistret Abdul Hayyi Salim memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh, Mohd Rashimi Ab Rashid, 38, digantikan dengan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) selama tiga jam sehari selama tempoh tiga bulan.

Keputusan itu dibuat selepas tertuduh mengaku bersalah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Salbiah Bee Sarimulla Khan, 35, di rumah di daerah ini, 10.30 pagi pada 19 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Zamri Md Jalil.

Mengikut fakta kes, pasangan terbabit berselisih faham selepas mangsa tidak mengendahkan tertuduh sewaktu dipanggil berulang kali.

Kejadian itu menyebabkan kedua-duanya bertengkar sebelum suspek bertindak memukul mangsa menyebabkan wanita terbabit menanggung kesakitan pada anggota badan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 3:46 PM