FARIDAH kerugian ribuan ringgit apabila kolam yang menempatkan ikan patin di Kampung Kuali, Kok Lanas ditenggelami banjir.
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


KOTA BHARU: Seorang penternak ikan kerugian ribuan ringgit selepas kolam yang menempatkan lebih 12,000 ikan patin di Kampung Kuali, Kok Lanas di sini, ditenggelami banjir, pada Ahad minggu lalu.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, ribuan ikan patin yang diternak di dalam kolam seluas 0.12 hektar berhampiran rumahnya itu dihanyutkan arus deras.

Faridah Mahmud, 55, berkata, suaminya, Mohd Rozi Yusof, 52, mula menternak ikan itu sejak 40 tahun untuk menyara keluarga.

Katanya, pada minggu lalu hujan lebat mengakibatkan air kolam melimpah keluar ke sungai berhampiran.

“Kejadian berlaku terlalu pantas dan kami tidak mampu berbuat apa-apa apabila air naik sehingga 0.5 meter dan pada ketika itu ribuan ikan patin dibawa arus. Banjir hanya surut tujuh jam kemudian.

“Kami sendiri tidak menyangka dilanda banjir kerana sejak tinggal di sini rumah tidak pernah dinaiki air. Malah ketika bencana banjir pada 2014, ramai penduduk berpindah ke kampung ini.

“Saya tidak menolak kemungkinan pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran kampung ini menjadi antara faktor kawasan ini dinaiki air,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, sehingga kini dia tidak pasti berapakah jumlah sebenar ikan yang terlepas daripada kolamnya itu.

“Namun saya dapat rasakan jumlahnya agak banyak kerana kebiasaannya ikan akan timbul setiap kali makanan diberikan, namun sebaliknya berlaku selepas kejadian banjir itu.

“Kali terakhir anak ikan dilepaskan sejak setahun lalu dan hampir semua ikan ini sudah mencecah berat sehingga tiga kilogram,” katanya.

Katanya, sebagai persediaan menghadapi banjir gelombang kedua, suaminya memasang jaring setinggi 0.5 meter di sepanjang tebing sungai untuk mengelakkan ikan terlepas.

“Pada masa sama, kami membuka tawaran kepada orang ramai memancing di kolam ini dengan dikenakan bayaran hanya RM7 sekilogram untuk mengelakkan kerugian lebih besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 5:30 AM