Babi yang memasuki perangkap di belukar berdekatan Seri Bendahara, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@nstp.com.my


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) memasang sembilan perangkap babi di empat lokasi di Melaka yang dikesan menjadi kawasan ‘panas’ haiwan itu.

Pengarahnya Mohd Hasdi Husin berkata, empat lokasi berkenaan adalah di Seri Bendahara, Bukit Bayan, Solok Jenuang dan Kampung Ulu Duyong, Bemban Jasin.

“Semua perangkap ini dipasang sejak 2 Disember lalu manakala baki lima lagi perangkap akan dipasang mengikut kawasan serius menerima aduan babi tertinggi.

“Sejak dipasang, perangkap ini berjaya menangkap 10 ekor babi hutan iaitu lapan di kawasan Seri Bendahara dan dua di Bukit Bayan.

“Selain itu, kita merancang mewujudkan perangkap babi komuniti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan jumlah populasi babi hutan atau spesies Sus scrofa di Melaka berada pada tahap membimbangkan susulan peningkatan sekali ganda berbanding tahun lalu.

Peningkatan sekali ganda itu menyaksikan 457 babi hutan dihapuskan dalam 125 operasi sepanjang tahun ini sehingga Oktober lalu.

Antara kawasan terbabit adalah Bukit Katil, Padang Temu, Semabok dan Masjid Tanah di kawasan hutan berhampiran kawasan perumahan.

Mengulas lanjut Mohd Hasdi berkata, usaha PERHILITAN juga perlu mendapat sokongan dan kerjasama pelbagai pihak terutama masyarakat setempat melalui sesi dialog selain operasi bersama.

“Kerajaan melalui PERHILITAN sentiasa mengalu-alukan pandangan pelbagai pihak seperti badan bukan kerajaan (NGO), pihak berkuasa tempatan dan pemaju perumahan dalam mencari jalan mengatasi masalah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 6:02 PM