Pemandu kenderaan yang terbabas ke dalam sungai berjaya diselamatkan. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail
am@hmetro.com.my


“SAYA mengambil tali ampaian baju di rumah bagi menyelamatkan wanita yang terperangkap dalam kereta di Sungai Redong,” kata Rozizul Diah Putra, 21.

Penduduk FELDA Redong itu menceritakan usaha menyelamatkan mangsa yang terbabas ke dalam sungai tengah hari tadi.

Rozizul Diah berkata, dalam kejadian 12 tengah hari itu dia dalam perjalanan pulang ke FELDA Redong dari bandar Segamat selepas membeli alat ganti Proton Wira ditemani adiknya, Nor Diana Diah Putra, 14.

“Apabila tiba di lokasi saya melihat Perodua Myvi di dalam Sungai Redong manakala wanita berusia 20-an di tempat pemandu kereta itu.

“Saya memberhentikan motosikal dan kebetulan ada penunggang motosikal serta pemandu lori di tempat kejadian dan kami berbincang bagaimana mahu menyelamatkan mangsa.

“Berikutan itu, saya bergegas pulang ke rumah tak jauh dari lokasi mengambil tali ampaian sebelum kembali dan mengikatnya di pokok berhampiran untuk membantu mangsa menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui hari ini.

Bagaimanapun katanya, ketika itu sepasukan anggota bomba dan penyelamat tiba dan membantu menyelamatkan mangsa dari sungai berkenaan.

Katanya, mujur air hanya pada paras paha dan tidak deras sekali gus membolehkan pasukan keselamatan menyelamatkan mangsa.

“Wanita itu menyatakan dia dalam perjalanan pulang ke FELDA Selancar dari Segamat menggunakan jalan pintasan di FELDA Redong malah sempat menghubungi keluarganya memaklumkan kejadian itu.

“Wanita itu dihantar ke Hospital Segamat untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 5:54 PM