MAHASISWA melakukan transaksi tanpa tunai di Arked Meranti.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: Arked Meranti menjadi medan selera pertama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai di sini, yang menggunakan sepenuhnya urus niaga tanpa tunai.

Medan selera dibina pada 2003 itu kini dibaik pulih dan dinaik taraf perkhidmatannya sejajar Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, Arked Meranti yang menempatkan 18 gerai makanan dan minuman itu antara fasiliti yang ditambah baik untuk keselesaan pelajar dan warga UTM.

“Kami menggunakan konsep tanpa tunai dan memastikan amalan budaya lestari dilaksanakan di sini, antaranya pembungkusan makanan dan mereka yang berurus niaga di sini, perlu membawa bekas makanan sendiri dan tiada air botol dijual di sini.

“Kami mahu menggalakkan dan mempromosikan kampus lestari,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Arked Meranti di UTM Skudai di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi UTM Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Dr Mohd Ramli Kushairi; Ahli Lembaga UTM, Serina Abdul Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif UTM Holdings Sdn Bhd, Ahmad Kamil Khusairi.

Arked Meranti kini diuruskan sepenuhnya UTM Holdings Sdn Bhd.

Pada masa sama, Dr Wahid berkata, dengan kemudahan baru itu, pasti harga makanan dan minuman sedikit tinggi namun UTM masih mengamalkan budaya biasa seperti program makanan percuma, kad diskaun selain penderma dalam UTM.

“Saya tidak mahu ada pelajar berasa tempat ini (Arked Meranti) terlalu eksklusif hingga timbul rasa takut dan tidak mampu untuk mengunjunginya.

“Memang tempat ini disediakan untuk pelajar, pensyarah, kakitangan dan pelawat, tetapi kami mahu pelajar menikmati kemudahan dan keselesaan disediakan di sini.

“Adalah penting kami menawarkan kualiti makanan yang baik, harga berpatutan dan selesa untuk pelajar,” katanya.

Infrastruktur, kemudahan dan persekitaran Arked Meranti yang dinaik taraf itu dengan kos RM1.1 juta dan beroperasi semula sejak 18 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 5:40 AM