Afzan (kanan) dan Mohammad Suafiizwan yang muncul johan qariah dan qari MTQB 2019 di Kuala Lumpur hari ini. Foto Muhd Zaaba Zakeria
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my

“SETIAP hari saya berdoa supaya Allah ‘celikkan’ mata hati saya untuk belajar dan membaca al-Quran.

“Alhamdulillah, walaupun dalam serba kekurangan dan kepayahan tetapi dengan izinNya saya masih diberi peluang olehNya untuk membaca kitab suci dengan lancar,” kata johan qariah Tilawah Al-Quran Braille 2019 (MTQB 2019), Afzan Mustafa.

Wanita berusia 38 tahun dari Kerteh, Terengganu itu berkata, dia mula belajar membaca al-Quran Braille sejak berusia tujuh tahun dan pernah berguru dengan beberapa guru bagi memperkemaskan bacaannya.

Menurutnya, memang tidak dinafikan, pada awalnya dia menghadapi kesukaran untuk membaca al-Quran dengan betul kerana tidak boleh melihat selain perlu menggunakan jari untuk membaca setiap baris ayat di atas naskhah al-Quran Braille.

“Namun, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Saya tidak mahu menjadikan kekurangan yang ada sebagai alasan untuk mengabaikan kitab suci berkenaan.

“Ini kerana al-Quran bukan saja menjadi panduan malah pedoman dan penawar kepada semua masalah dalam kehidupan,” katanya ketika ditemui ketika di majlis penutup MTQB 2019 di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, bilal orang kurang upaya (OKU) Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Mohammad Syafiizwan Mohd Suhaini, 19, muncul johan qari MTQB 2019.

Menurut Mohammad Syafiizwan, dia tidak menjangkakan sama sekali akan dipilih sebagai pemenang kerana menerima saingan sengit daripada peserta terutama johan tahun lalu.

Katanya, ia adalah penyertaan kali keduanya untuk pertandingan itu selepas muncul naib johan pada edisi sebelumnya.

“Ternyata rezeki Allah tidak pernah salah alamat dan saya bersyukur meskipun tidak sempat melakukan persiapan rapi tetapi tetap membuat yang terbaik.

“Kejayaan ini didedikasikan untuk keluarga dan semua pihak yang banyak membantu terutama Ustaz Mohd Nor Ibrahim iaitu bekas Imam Masjid Jeram yang juga hakim kerana tidak jemu mengajar,” katanya yang turut memasang impian untuk mewakili negara ke pertandingan tilawah peringkat antarabangsa suatu hari kelak.

MTQB dianjurkan oleh Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Malaysian Relief Agency (MRA).

Ia diadakan selama tiga hari bermula 6 Disember lalu dan disertai seramai 40 peserta termasuk dua dari Singapura.

Lima kategori dipertandingkan iaitu kategori Saudara Baharu, Hafazan Wanita, Hafazan Lelaki serta Tilawah Al-Quran Lelaki dan Wanita.

Pemenang setiap kategori membawa pulang sijil penghargaan dan hadiah wang tunai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 5:22 PM