JURUCAKAP keluarga, Afifah Shaiffudin ketika ditemui di Kampung Ulu Putatan, Putatan. FOTO Malai Rosmah Tuah.
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


“KEEMPAT-EMPAT mereka akan dikebumikan sekali dan pengurusan jenazah termasuk pengebumian sedang dilakukan, namun masih menunggu kelulusan daripada Konsulat Christchurch untuk proses pengebumian di sana dan paling awal pagi esok,” kata Afifah Shaiffuddin.

Afifah, 33, adalah jurucakap kepada keluarga empat beranak yang maut dalam kemalangan di Kaikoura, New Zealand.

Sebelum ini, Afifah menjelaskan seorang lagi anak pasangan Adanan Jemain, 49, dan Dr Rumihati Abd Hamid, 49, iaitu Nur Irfan, 15, turut disahkan meninggal dunia hari ini.

Perkara itu disahkannya kepada media selepas menerima maklumat daripada bapa saudaranya, Othman Abd Hamid yang kini berada di New Zealand.

“Kira-kira 1.30 tengah hari tadi, kami menerima maklumat daripada bapa saudara melalui Kumpulan WhatsApp menyatakan anak sulung mangsa yang parah turut meninggal dunia.

“Saya hubungi bapa saudara melalui panggilan telefon untuk pengesahan. Mereka sempat lihat dia masih hidup dan keluarga ada bersamanya ketika menghembuskan nafas terakhir,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Ulu Putatan, Putatan, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai seorang lagi anak bongsu mangsa, Nur Arifah, 12, yang dirawat di Hospital Wellington, Afifah berkata, dia kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Katanya, proses bedah siasat arwah Rumihati dan Adanan bersama seorang lagi anak mereka, arwah Nuraleeyah Maisarah Arifah, 13, sudah selesai selepas proses pengecaman dilakukan ahli keluarga di sana.

“Bedah siasat terhadap tiga daripada mereka sudah selesai manakala seorang lagi (Nur Irfan) akan diselesaikan,” katanya.

Kelmarin, tiga rakyat Malaysia dilaporkan meninggal dunia manakala dua lagi parah ketika ketika bercuti di negara berkenaan.

Mereka sekeluarga yang menaiki kereta sewa terbabit kemalangan dengan lori di Lebuhraya Negeri 1, Kaikoura pada 3.10 petang, Jumaat waktu tempatan (10.10 pagi waktu Malaysia).

Berita berkaitan:

  • Seorang lagi meninggal dunia
  • Keluarga mangsa kemalangan tiba di New Zealand
  • Rumihati adalah doktor kami [METROTV]
  • Mahu kebumi 3 beranak di Christchurch
  • Wisma Putra sah mangsa sekeluarga
  • 3 warga Malaysia maut kemalangan di New Zealand
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 5:17 PM