Halimah berkumpul bersama ahli keluarganya ketika ditemui di rumahnya di Kota Bharu. FOTO Muhamaad Razis Ismail
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


“ALLAHYARHAM berpesan jaga hubungan silaturahim keluarga,” kata Datin Halimah Hussin, 74, isteri kepada Allahyarham Datuk Daud Muhammad, 84, yang meninggal dunia semalam.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 6.45 petang di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sisi ahli keluarganya kerana sakit tua.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Kampung Sireh sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setia Budi, Kampung Aman 11 malam tadi.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, empat anak dan 11 cucu.

Halimah berkata, suaminya dimasukkan ke HUSM sejak empat hari lalu kerana sakit tua.

“Sebelum itu, arwah dalam keadaan sihat dan tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“Arwah menghembuskan nafas terakhir petang semalam dan kami semua ahli keluarga berada di sisinya,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Menurutnya, sebelum itu, arwah sempat berpesan kepada keluarga supaya menjaga hubungan kekeluargaan.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya.

Allahyarham dilantik sebagai Ketua Hakim Syarie Kelantan sejak 1989.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham menerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2019 peringkat Kebangsaan, Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Kelantan dan Anugerah Tokoh Syariah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia 2011.

Antara sumbangan Allahyarham adalah menjadi panel dan pakar rujuk komuniti syariah Jabatan Peguam Negara, panel Hakim Mahkamah Rayuan, Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta Ahli Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak/Sivil Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM).

Berita berkaitan

Ketua Hakim Syarie Kelantan meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 2:40 PM