Mangsa maut selepas kereta dipandunya terperosok di bawah lori. FOTO Ihsan Pembaca
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


LELAKI maut selepas kereta dipandunya masuk ke laluan bertentangan sebelum terperosok di bawah lori di Kilometer 9.2 Jalan Bekoh, Tangkak hari ini.

Dalam kejadian 8.45 pagi tadi, Mohamad Faizal Abdul Aziz, 32, yang bekerja sendiri meninggal dunia di lokasi akibat cedera di kepala dan badan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintendan Idris Abdul Rahman berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika kereta dipandu lelaki itu dari arah Bekoh menghala ke Tangkak.

“Keadaan laluan berselekoh dan kereta terbabit dipercayai masuk ke laluan bertentangan sehingga menyebabkan lori yang dari arah Tangkak ke Asahan cuba mengelak dengan memandu ke bahu jalan.

“Akibat kejadian itu berlaku pelanggaran dengan kereta serta pemandunya terperosok ke bawah lori.

“Pemandu kereta cedera di kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya.

Beliau berkata, kereta itu remuk di keseluruhan bahagian hadapan dan bumbung.

“Lori itu rosak di bahagian ‘bumper’ depan dan pecah, cermin depan pecah dan stering rot rosak,” katanya.

Katanya, pemandu lori berusia 49 tahun tidak cedera.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 2:24 PM