FOTO Hiasan
BERNAMA

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan notis amaran cuaca buruk di Sarawak sehingga esok, selain hujan lebat di Terengganu, Pahang dan Johor sehingga Selasa depan.

MetMalaysia menerusi Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional dalam kenyataannya memaklumkan, hujan lebat dan cuaca buruk di Sarawak akan berlaku di Kuching, Serian dan Samarahan selain di Sri Aman, Betong dan Sarikei.

Kenyataan itu turut mengeluarkan amaran cuaca peringkat waspada bagi Dungun dan Kemaman di Terengganu dan di Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang kerana hujan lebat dijangka berlaku sehingga Selasa.

Amaran cuaca peringkat waspada turut membabitkan beberapa daerah di Johor iaitu Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bharu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 2:18 PM