Yusmizal Dolah Aling dari Cox’s Bazar dan Bangladesh

BERJALAN malam sejauh hampir dua kilometer. Itu inisiatif diambil sukarelawan Muslim Care Malaysia untuk memenuhi hasrat seorang pelarian Rohingya mendapatkan sumbangan bagi anaknya yang sakit.

Dengan menempuh perjalanan sesak selama lebih setengah jam dari pusat peranginan Cox’s Bazar, ia menjadi iltizam sukarelawan misi untuk menyampaikan sumbangan yang dibeli pada saat akhir itu.

Semuanya bermula apabila ada permintaan daripada Ulama Rohingya kepada Timbalan Presiden Muslim Care, Mohd Johari Ismail sebaik tiba dari Dhaka, semalam.

Tidak mahu menghampakan, anggota misi yang turut disertai penulis kemudiannya menelusuri Jalan Hospital, dekat Cox’s Bazar untuk membeli susu, ubat-ubatan dan tuala sebagai sumbangan kepada keluarga memerlukan.

Turut serta Ketua Jabatan Obstektrik dan Ginekologi Hospital Pakar Wanita dan Kanak-kanak Avisena (AWCSH) Dr Fairuz A’shikin Abdul Kadir bersama dua jururawat diiringi pertubuhan bukan kerajaan.

Mohd Johari berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu keluarga di Kampung Dokindikur itu selepas selesai fasa pertama misi kemanusiaan yang bermula sejak 30 November lalu.

“Kita dapati, anak kecil berusia enam bulan ini menghidapi Unbilical Hernia, seorang sanak saudaranya menghidap Cerebral Palsy dan seorang lagi baru berusia 35 hari.

“Selain itu, kita juga ingin menyampaikan sumbangan penyumbang prihatin kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan sumbangan selimut kepada pelajar Madrasah Bilal Bin Rabah dekat sini sebagai persediaan menghadapi musim sejuk.

Pusat pengajian dan anak yatim berusia 25 tahun itu menempatkan 30 pelajar berusia antara tujuh hingga 12 tahun.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi nombor akaun 564490413882 (Maybank), 14014010147470 (Bank Islam) atau 14010007654717 (Bank Muamalat).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 12:11 PM
MOHD Johari (tiga kiri) menyerahkan sumbangan daripada penyumbang di Malaysia kepada keluarga pelarian di Kampung Dokindikur, Cox’s Bazar. FOTO Yusmizal Dolah Aling