Mohd Fadhil menceritakan bagaimana dia berjaya menyelamatkan diri selepas bot dinaiki bersama dua rakan karam dipukul ombak. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


NELAYAN dikhuatiri lemas manakala dua rakannya selamat selepas bot dinaiki mereka karam dipukul ombak di Muara Kuala Dungun, hari ini.

Afandi Zakaria, 42, dari Jalan Bunga Raya, Dungun terpisah dengan rakannya selepas dipukul ombak besar 7.30 pagi tadi.

Ketika kejadian, Afandi bersama dua rakannya iaitu tekong bot, Mohamad Ekhsan Kamaruddin, 32, dan Mohd Fadhil Jusoh, 39, dalam perjalanan dari Kuala Dungun untuk keluar menangkap ikan di kawasan Pulau Tenggol.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sebaik tiba di muka kuala, bot dinaiki tiga nelayan itu dipukul ombak besar sebelum mereka bertindak pulang semula ke jeti nelayan Kampung Sungai Buaya.

Katanya, ketika berpatah balik, bot itu tiba-tiba dipukul ombak besar menyebabkan bot mereka terbalik.

“Ketiga-tiga nelayan yang tercampak ke laut sempat berenang dan bergantung pada bot mereka namun mereka berpisah selepas dipukul ombak selepas itu.

“Afandi terpisah dan terus hilang daripada pandangan kedua-dua rakannya itu,” katanya.

Afandi dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki dipukul ombak. FOTO Rosli Ilham

Baharudin berkata, dua rakannya itu sempat mencapai sebuah tong minyak untuk menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai.

“Dua mangsa yang selamat dibantu orang ramai sebelum dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

“Mereka dilaporkan tidak mengalami kecederaan sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

Menurut Baharudin, polis dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sudah melancarkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Operasi SAR dilakukan di kawasan pesisir pantai berikutan keadaan ombak besar yang boleh membahayakan nyawa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 12:06 PM