MUHAMMAD Fatih (tengah) segak memakai tengkolok dan selempang menunggu giliran untuk dikhatan. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman

KANAK-KANAK mencipta kelainan apabila bertengkolok dan berselempang, pada Majlis Khatan Perdana di Masjid A’Isyah Kampung Sungai Menghulu, Langkawi hari ini.

Muhammad Fatih Darwisy Amir, 10, berkata, tujuannya memakai tengkolok dan selempang adalah untuk kurangkan rasa gementar ketika dikhatankan.

“Tengkolok dan selempang ini ibu yang tolong buatkan dan saya memang nak pakai untuk dapatkan kelainan, selain mahu hilang rasa gemuruh untuk berkhatan.

“Memang saya dapat perhatian dalam majlis ini dan rasa seronok untuk berkhatan beramai-ramai bersama rakan,” katanya yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kelibang, di sini.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Mohamad Syawal Mazlan, 9, berkata, dia teruja untuk menyertai majlis khatan, walaupun tidak melakukan apa-apa gimik untuk hilangkan rasa gementar.

“Hari ini saya datang nak ‘sunat’ dengan rakan-rakan. Saya tak takut sebab abah cakap sakit sikit ja, macam kena gigit semut,” katanya yang juga murid SK Sungai Menghulu.

Terdahulu, peserta diarak 50 meter dengan paluan gendang silat selain dimandikan dengan pancutan air bomba.

Sementara itu, Imam Masjid A’Isyah, Othman Yahya berkata, program sulung itu dianjurkan bersama jawatankuasa masjid dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Menghulu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 11:58 AM