GAMBAR Hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my


DUA termasuk seorang remaja kembar maut apabila dua motosikal bertembung di Kilometer 1.1 Jalan Changkat Jering- Taiping, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.35 tengah malam itu, P Morhintheran, 23, dan Muhammad Najib Muhamad Fakri, 16, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Taiping manakala pasangan kembar Muhammad Najib iaitu Muhamad Nabil yang membonceng motosikal parah.

Pasangan kembar itu adalah pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Wan Ahmad Rasdi Batu 9 dekat sini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, siasatan awal mendapati motosikal Modenas Kriss dinaiki pasangan kembar itu dalam perjalanan dari arah Markas Operasi PAS Bukit Gantang menghala ke Kampung Sungai Petai sebelum bertembung motosikal Yamaha Lagenda ditunggang Morhintheran dari arah bertentangan.

“Kedua-dua motosikal itu bertembung di tengah jalan sebelum semua mangsa dikejarkan ke Hospital Taiping dan dua daripadanya meninggal dunia di hospital.

“Pemeriksaan juga mendapati kedua-dua penunggang motosikal yang maut tiada lesen memandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika Muhammad Najib dan Muhammad Nabil dalam perjalanan pulang selepas selesai menjalankan tugas sebagai sukarelawan Jabatan Amal PAS dalam satu program anjuran Markas Operasi PAS Bukit Gantang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 11:45 AM