Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@nstp.com.my


AHLI PKR diingatkan tidak menimbulkan masalah dan kerenah di dalam negara ketika mereka sudah mempunyai kuasa.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pimpinan di semua peringkat juga seharusnya memperbaiki sikap dan kembali kepada sejarah serta agenda perjuangan parti.

“Parti ini sudah melalui suasana getir. Kita boleh berdisiplin dalam keadaan kita miskin dan tertekan.

“Tetapi kita mulai menimbulkan pelbagai kerenah bila kita mula punyai kuasa dalam negara dan negeri,” katanya pada Ucapan Dasar Presiden Kongres Nasional PKR 2019 ke-14 di Melaka hari ini.

Menurutnya, ahli juga mesti meneruskan sikap hormat dan kepatuhan yang harus diterapkan.

“Kita boleh ada jaringan fahaman dan aliran, tetapi tak boleh kekalkan fahaman berpuak-puak yang boleh memecahkan parti,” katanya menerima tepukan gemuruh dan laungan reformasi daripada lebih 3,000 perwakilan yang hadir.

Semalam, satu insiden kekecohan berlaku pada Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini.

Kekecohan berlaku di pintu masuk dewan kongres AMK yang turut menyaksikan pergaduhan fizikal antara dua ahli.

Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham pada sidang media petang semalam mendakwa kekecohan berpunca daripada tindakan sabotaj terancang sekumpulan pemuda berbaju hitam.

Susulan insiden itu, Anwar dalam kenyataannya mahu ahli yang bertanggungjawab mencetuskan kekecohan itu dipecat Lembaga Disiplin parti.

Menurutnya, perbuatan biadap itu tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan tegas dan turut memohon pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku kekecohan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 11:32 AM
Anwar berucap pada Kongres Nasional PKR 2019 di MITC, Melaka hari ini. FOTO Rasul Azli Samad