PETIKAN daripada video murid menyanyikan Negaraku dalam Bahasa Mandarin yang tular
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


JABATAN Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) sudah melakukan siasatan berhubung video menunjukkan sekumpulan murid menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin di dalam kelas sekolah rendah di daerah Seremban.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawan, Pendidikan dan Modal Insan, Dr Mohamad Rafie Bin Ab Malek berkata, tindakan juga sudah diambil berhubung situasi itu.

“Video berdurasi satu minit 23 saat yang tular di media sosial menunjukkan murid di sebuah sekolah menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin adalah video lama.

“Ia berlaku pada 19 September 2018 membabitkan 20 murid tahun lima di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).

“Siasatan yang dibuat mendapati guru berkenaan menterjemahkan lagu Negaraku dalam bahasa ibunda muridnya dengan bertujuan untuk memberi kefahaman lagu kebangsaan berkenaan kepada murid.

“JPNS sudah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan kesilapan seperti ini tidak berulang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, lagu kebangsaan bagaimanapun mesti dinyanyikan dalam bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu dan kaedah menyanyikan lagu Negaraku dalam apa-apa bahasa selain dari bahasa Melayu adalah tidak wajar.

Ulas beliau, mengambil iktibar daripada kejadian ini, pengajaran bahasa Melayu untuk semua sekolah di Malaysia sama ada sekolah kebangsaan (SK), SJKC atau sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) perlu diperkukuhkan untuk memastikan setiap murid benar-benar memahiri bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan.

“Kesemua warga Malaysia perlu mempelajari dan memahiri serta menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi yang menunjukkan lambang perpaduan negara.

“Bahasa ibunda rakyat Malaysia seperti Mandarin, Tamil, Kadazan, Iban dan pelbagai lagi bahasa juga perlu dimahiri, tetapi tanpa pengabaian penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

“Malah, kita juga mengalakkan pembelajaran bahasa lain dunia khususnya Inggeris, Jepun, Jerman, Peranchis dan pelbagai lagi bahasa dalam memastikan rakyat Malaysia boleh menjalinkan hubungan dengan negara lain secara efektif.

Berita berkaitan:

  • Negaraku versi Mandarin untuk kefahaman
  • Polis siasat lagu Negaraku versi Mandarin
  • Isu Negaraku versi Mandarin: KPM siasat
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 11:26 AM