TINJAUAN tapak bazar Wangsa Maju yang baru berikutan bantahan peniaga mengenai pemindahan Uptown Danau Kota di Uptown Danau Kota, Setapak. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan berlaku kekecohan di tapak Bazar Larut Malam (Uptown) Danau Kota, Setapak malam tadi susulan rasa tidak puas hati semua peniaga sebagaimana yang ditularkan di media sosial.

Sebaliknya, perhimpunan diadakan itu dilakukan segelintir peniaga sahaja yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemindahan ke tapak baharu di Bazaria Wangsa Maju.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL Khairul Azmir Ahmad berkata, pemindahan ke tapak baharu itu diputuskan selepas 345 daripada 500 peniaga di di situ bersetuju dengan arahan berkenaan.

Katanya, kawalan dilakukan DBKL itu pula hanya membabitkan tapak yang sudah dikosongkan peniaga bagi mengelak diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

“Perhimpunan yang tular di media sosial sejak malam tadi itu sebenarnya hanya dilakukan segelintir peniaga di situ yang masih tidak berpuas hati untuk berpindah dan tidak membabitkan semua peniaga.

“Malah, tidak timbul isu DBKL menyekat laluan di situ sebaliknya kawalan dilakukan hanyalah membabitkan kawasan tapak gerai yang sudah dikosongkan bagi mengelak ia diceroboh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul berkata, kawalan di tapak yang sudah dikosongkan itu dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, pemindahan ke tapak baharu itu diputuskan berikutan ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti surau, tandas awam, tempat letak kereta serta motosikal secara percuma dan lebih tersusun.

“Selain itu, kadar sewa di tapak baharu itu adalah jauh lebih murah iaitu antara RM212.70 hingga RM225.20 sebulan dengan kadar lesen RM108 setahun berbanding di Uptown Danau Kota.

“Jadi, tidak timbul isu bahawa DBKL cuba menindas peniaga sebagaimana berita yang tular di media sosial itu,” katanya.

Menurutnya, pemindahan itu juga bagi memberikan keselesaan kepada semua pihak baik kepada peniaga, pengunjung serta kepada penduduk setempat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, perhimpunan bermula 7 malam hingga 9 malam itu bagaimanapun berjalan dengan aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Katanya, penjaja mengadakan bantahan di situ selepas laluan masuk ke Uptown Danau Kota disekat oleh DBKL.

“Perhimpunan malam tadi yang turut dipantau polis berjalan secara aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Selepas kira-kira dua jam berhimpun, penjaja di situ kemudian akhirnya masuk ke tapak berkenaan dan memulakan perniagaan mereka pada 9 malam,” katanya.

Semalam, kira-kira 300 penjaja, pekerja dan penduduk sekitar Uptown Danau Kota berhimpun bagi melahirkan rasa tidak puas hati apabila tapak itu ditutup kepada peniaga.

Bagaimanapun, dalam perhimpunan kira-kira dua jam itu penjaja menyatakan keengganan berpindah ke tapak baharu berikutan kawasan berkenaan yang dikatakan tidak selesa serta tidak diturap dengan sempurna.

Penjaja mendakwa keadaan itu menyebabkan kawasan tapak sementara berkenaan dipenuhi lopak air apabila hujan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 6:18 PM