Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


POLIS akan menyiasat video tular hari ini yang menunjukkan murid sebuah sekolah menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan akan dibuka susulan penularan video itu.

“Bagaimanapun melalui siasatan awal kita dapati video terbabit sudah lama diambil,” katanya.

Difahamkan video terbabit diambil di sebuah sekolah di Seremban, Negeri Sembilan pada 2018 namun mula tular hari ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataannya hari ini pula menegaskan, siasatan terperinci sedang dilakukan berhubung perkara itu.

“KPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melanggar peraturan membabitkan Perlembagaan Negara Malaysia sama ada secara sengaja atau tidak,” menurut kenyataan itu.

Menerusi video berdurasi 1.22 minit itu kelihatan murid sekolah menyanyikan lagu Negaraku secara beramai-ramai di dalam kelas tetapi tidak diketahui lokasi dan bila rakaman itu dibuat.

Majoriti murid dalam klip berkenaan berbangsa Cina selain, seorang murid perempuan bertudung.

Rakaman itu dimuat naik ke Facebook mendapat kecaman warganet.

Berita berkaitan

Isu Negaraku versi Mandarin: Bukan sebuah sekolah je

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 6:05 PM