Dadah yang dirampas JKDM Miri dalam serbuan ke atas premis mencuci kereta. FOTO Ihsan JKDM
Erika George
am@hmetro.com.my


PUSAT mencuci kereta di Jalan Acacia, Miri yang dipercayai menjadi tempat penyimpanan serta pengedaran dadah di sekitar Miri diserbu semalam dan dadah bernilai RM210,600 dirampas.

Serbuan pada 9.30 pagi itu dilakukan Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Miri atas maklumat dan risikan satu bungkusan disyaki mengandungi dadah akan dihantar kepada penerima di satu lokasi di Miri oleh pekerja syarikat perkhidmatan kurier.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, ketika serbuan lelaki berusia 35 tahun ditahan bersama satu bungkusan disyaki mengandungi dadah yang baru diterima daripada pekerja perkhidmatan kurier.

“Pemeriksaan bungkusan itu menemui 9,915 biji pil Eramin 5 dan 1.015 kilogram dadah disyaki ketamine.

“Pemeriksaan di pejabat pusat cuci kereta itu pula menjumpai 65 pil Eramin 5 dan 10 gram serbuk disyaki ketamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sharifah Halimah berkata, siasatan lanjut membawa kepada serbuan sebuah rumah berhampiran premis mencuci kereta itu.

“Seorang lelaki dipercayai pemilik pusat cuci kereta itu ditahan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 6:01 PM