FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


SURI rumah didakwa di Mahkamah Majistret di Petaling Jaya, hari ini atas dua pertuduhan memperdaya wanita bagi proses sewa beli perumahan PR1MA membabitkan lebih RM6,000.

Tertuduh Mazni Mahmud, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Ibu dua anak itu dilihat tenang di dalam kandang tertuduh sepanjang prosiding berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu seorang pegawai khidmat pelanggan berusia 22 tahun dengan memperdayanya untuk mempercayai bahawa dia adalah ejen kepada perumahan PRIMA yang akan menguruskan proses sewa beli rumah itu di Alam Damai, Cheras.

Ia juga bagi pihaknya untuk membuat transaksi RM5,988 sebagai deposit rumah berkenaan yang mana mangsa tidak akan menyerahkannya jika tidak diperdaya sedemikian.

Penyerahan wang itu dibuat di sebuah rumah di Petaling Jaya pada 7.30 malam, 4 Mac lalu dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Mazni juga mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan pilihan, iaitu mendorong mangsa untuk menyerahkan jumlah dan tujuan yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh juga dihukum bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Pendakwaraya Sharifah Zafirah Syed Mustafa menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Yusri Yusoff memohon jaminan yang rendah dengan alasan tertuduh mempunyai dua orang anak yang berusia dua dan empat tahun.

“Tertuduh hanya bergantung kepada suaminya yang juga penanggung tunggal keluarga. Tertuduh masih mempunyai mak dan ayah,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 5:58 PM