Program Jelebu Kayak Eco Challenge 14 Disember ini menawarkan pelbagai hadiah termasuk wang tunai. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my


JELEBU Kayak Eco Challenge anjuran Majlis Daerah Jelebu kini memasuki edisi ke-14 dan orang ramai diharap tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti sukan itu pada 14 Disember ini.

Yang Dipertuanya, Nurul Huda Musa berkata, pertandingan bagi tujuan mempromosikan sukan kayak di daerah itu akan dibahagikan kepada dua kategori iaitu terbuka dan institusi pengajian tinggi.

Menurutnya, perlumbaan bermula dari Dataran Kampung Puom, Kuala Klawang hingga Empangan Sungai Buloh, Simpang Durian membabitkan jarak 30 kilometer.

“Peserta kategori terbuka berpeluang memenangi hadiah wang tunai RM3,000 bagi johan manakala tempat kedua (RM2,000) dan ketiga (RM1,200).

“Bagi kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pula, johan pertandingan bakal membawa pulang wang tunai RM2,000, kedua (RM1,400) dan ketiga (RM1,000),” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Nurul Huda berkata, pihaknya turut menyediakan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah keseluruhan RM5,000.

Katanya, pihaknya menyediakan pelbagai acara sampingan seperti Explorace Jelebu, karaoke dan persembahan artis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 5:56 PM