DA'I Farhan bersama bekas isteri, Fatin dan anak mereka. FOTO Facebook Fatin Nurul Ain
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


POLIS akan memanggil bekas isteri Dai Farhan, Fatin Nurul Ain Mat Aris, 30, untuk siasatan lanjut berhubung laporan dibuatnya mengenai dakwaan dipukul lelaki terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya sudah mengarahkan wanita berkenaan untuk melakukan pemeriksaan perubatan di hospital berhubung kecederaan dialami selepas didakwa dipukul bekas suaminya.

“Bagaimanapun, wanita itu memberitahu enggan melakukan pemeriksaan perubatan kerana menurutnya laporan polis dibuat bertujuan sebagai rujukan pihak Mahkamah Syariah nanti.

“Justeru, kami akan memanggil wanita berkenaan untuk tindakan lanjut termasuk meneliti keperluan untuk memanggil beberapa individu berkaitan termasuk bekas suaminya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fadzil berkata, setakat ini, pihaknya belum membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu.

“Kami perlu meneliti kejadian berkenaan dan mendapatkan maklumat lanjut daripada mangsa sendiri sebelum mengambil tindakan seterusnya,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan Fatin mendakwa dirinya ditolak, dicakar dan ditampar oleh Farhan dalam kejadian berlaku di rumah mereka di Taman Bukit Indah, Ampang, kira-kira 3 pagi, 22 November lalu.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Farhan menafikan tuduhan dia memukul dan mengurung bekas isterinya seperti didakwa oleh seorang wanita bernama Asiah dalam Facebook.

Pada 26 November lalu, isu rumah tangga mereka mendapat perhatian apabila seorang individu bernama Ches Al-Maliki, rakan baik Fatin berkongsi surat terbuka mendedahkan pendakwah itu berkahwin dua dengan janda anak lapan tanpa pengetahuan isteri pertama.

Namun, Farhan tampil membuat kenyataan dakwaan yang dibuat oleh Ches adalah mungkin kerana dendam dan tidak dapat menerima hakikat isterinya reda hidup bermadu.

Malah, pada 28 November lalu, Farhan mendedahkan sudah membuat laporan polis terhadap beberapa individu yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah di media sosial selain memberi pengajaran agar warganet menggunakan medium itu dengan berhemah.

b>Berita berkaitan

Penangan 18/19

Ditolak, dicakar dan ditampar - Fatin

Cerai itu betul, pukul itu fitnah - Da'i Farhan

'Tiada tindakan yang boleh katakan saya nusyuz'

Da'i Farhan buat laporan polis, tuntutan saman

Benda boleh bincang, kenapa nak gaduh

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 5:10 PM