NIK Zakuan melihat pokok pisang yang musnah di Kampung Chuchoh Puteri, Kuala Krai. FOTO Syamsi Suhaimi
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


SEORANG pekebun kecil dari Kampung Chuchoh Puteri di sini, menanggung kerugian lebih RM10,000 selepas kebun pisang miliknya musnah berikutan fenomena ‘kepala air’ Ahad lalu.

Nik Zakuan Nik Mahmood, 50, berkata, kejadian itu menyebabkan 300 pokok pisang musnah sekelip mata, sekali gus meranapkan hasrat menjual pisang masak kepada penduduk sekitar.

Katanya, pokok kebun pisang itu ditanam sekitar rumah di kawasan seluas 0.8 hektar diusahakan sejak lima tahun lalu.

“Kejadian ini di luar jangkaan dan saya tidak menyangka fenomena ini memusnahkan keseluruhan tanaman yang diusahakan.

“Ikutkan hati memang sedih, tetapi saya tidak berputus asa dengan apa yang berlaku dan akan berusaha untuk terus mengusahakan tanaman pisang yang menjadi sumber rezeki bagi menampung keperluan keluarga,” katanya ketika ditemui di kebun miliknya di Kampung Chuchoh Puteri, di sini.

Bapa kepada empat anak ini berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri, Zaleha Mat Nawi, 50, dan seorang anaknya berada di bandar Kuala Krai membeli barang keperluan harian.

“Jam 12 tengah hari, anak kedua, Nik Fauziah Nik Zakuan, 30, menghubungi saya memaklumkan air semakin naik disusuli hujan lebat berterusan menyebabkan saya mengambil keputusan segera pulang.

“Ketika sampai, paras air semakin naik, hanya beberapa meter hendak masuk ke dalam rumah. Mujur sempat mengambil dokumen penting sebelum kami sekeluarga menyelamatkan diri di tempat lebih tinggi,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan penempatan penduduk di Kampung Chuchoh Puteri dekat Kuala Krai dibadai fenomena ‘kepala air’ dan 20 keluarga yang terperangkap dalam kejadian itu terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat oleh pasukan keselamatan.

Terdahulu, satu rakaman video tular di Facebook (FB) dan aplikasi WhatsApp menunjukkan keadaan arus deras di kampung berkenaan dan meminta orang ramai mendoakan keselamatan penduduk kampung berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 6:00 AM