Sukarelawan bersama jabatan agensi keselamatan bergotong-royong membersihkan kelas yang dipenuhi lumpur akibat banjir di SK Lubuk Periuk di Kuala Berang semalam. Foto Ghazali Kori
BERNAMA

SITUASI banjir di dua negeri di Pantai Timur semakin pulih dengan beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) mula ditutup dan penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Di Terengganu sehingga 8 malam tadi, jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 642 orang daripada 164 keluarga berbanding 981 mangsa daripada 245 keluarga di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu pada petang semalam.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan (JKM) melaporkan jumlah mangsa di Kuala Nerus berkurangan kepada 447 orang (119 keluarga) berbanding 609 orang (155 keluarga) petang semalam di lima PPS.

Di Kuala Terengganu pula, hanya satu PPS dibuka dengan menempatkan 195 orang daripada 45 keluarga berbanding 372 orang (90 keluarga) petang semalam.

Tinjauan Bernama di Besut dan Hulu Terengganu mendapati penduduk yang sudah kembali ke rumah giat membersihkan persekitaran rumah dengan bantuan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan dari seluruh negara.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 7,595 mangsa membabitkan 2,998 keluarga berbanding 9,830 daripada 3,757 keluarga petang semalam.

Aplikasi Info Bencana JKM menunjukkan jumlah mangsa banjir di Pasir Mas susut kepada 4,753 mangsa (2,000 keluarga) di 15 PPS berbanding 6,710 mangsa (2,663 keluarga) petang semalam.

Tumpat juga mencatatkan penurunan kepada 2,842 mangsa (999 keluarga) berbanding 3,120 mangsa (1,094 keluarga).

Laman sesawang ebanjir.kelantan.gov.my juga menunjukkan paras Sungai Golok di Rantau Panjang terus susut kepada 9.91 meter berbanding 9.98 meter (bahaya 9 meter) yang dilaporkan petang semalam.

Paras Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat juga susut kepada 2.83 meter daripada 2.88 meter.

Di Johor, keadaan banjir di Parit Sulong dekat Batu Pahat terus kekal dengan 21 orang daripada empat keluarga yang masih berada di PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 12:54 AM