Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Foto Arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

POLIS mengesahkan penularan rakaman audio yang mendakwa akan berlaku kekacauan perkauman pada 7 dan 8 Disember ini adalah palsu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata, rakaman audio berkenaan disebarkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dengan niat untuk menakutkan dan membangkitkan kegusaran masyarakat.

“Rakaman audio itu mendakwa akan berlaku kacau bilau perkauman pada 7 dan 8 Disember ini dan meminta orang ramai untuk tidak keluar rumah pada hari berkenaan.

“Ia turut mendakwa kononnya maklumat itu datang dari pihak polis di Bukit Aman dan meminta orang ramai untuk membeli barang keperluan harian secukupnya bagi menghadapi situasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Mazlan berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan media sosial dan lain-lain rangkaian komunikasi untuk menyebar dan berkongsi sebarang maklumat atau berita palsu dengan tujuan membangkitkan sentimen perkauman atau menyentuh sensitiviti keagamaan sehingga boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menghubungi polis bagi tujuan pengesahan jika terkesan berita yang meragukan.

“Jangan sesekali berkongsi dan tularkan berita sedemikian kerana boleh menjejaskan keharmonian kaum dan kesejahteraan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 11:47 PM