DATUK Seri Tajuddin Abdul Rahman. FOTO Arkib NSTP.
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


DEWAN Rakyat hari ini, sebulat suara merujuk Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengeluarkan kenyataan menghina sensitiviti kaum pada 3 Disember lalu.

Keputusan itu diumumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming selepas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) memboikot dan keluar dewan kerana enggan membahaskan usul itu yang dikemukakan Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran.

Terdahulu, beberapa wakil rakyat BN termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertikaikan usul terbabit kerana Tajuddin sudah dikenakan hukuman sebelum ini oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Bagaimanapun, Nga meminta Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) memulakan segera perbahasannya sebagai wakil kerajaan dan mengarahkan wakil rakyat BN supaya duduk dan tidak mengganggu perbahasan.

“Jangan buang masa, ini sekadar membahas sama ada wajar Pasir Salak dirujuk ke jawatankuasa, bukan menjatuhkan hukuman. Silakan Bukit Gelugor teruskan perbahasan,” katanya.

Keadaan bertukar kecoh ketika Ramkarpal memulakan perbahasannya apabila Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) bertanya atas kapasiti beliau selaku peguam tersohor, sama ada pesalah boleh dikenakan hukuman gantung dua kali.

Ruang Ramkarpal terus diganggu Ahli Parlimen pembangkang sehingga memaksa Nga meminta mereka yang tidak bersetuju dengan perbahasan itu supaya keluar dari dewan.

Selasa lalu, isu calit abu mayat Ching Peng di dahi wakil rakyat menyebabkan Tajuddin dan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) diarah keluar dewan dan digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama dua hari.

Mohamad Ariff mengarahkan demikian selepas kedua-dua ahli parlimen itu mengganggu persidangan dan enggan mendengar arahan.

Sementara itu, Ismail Sabri pada sidang media di lobi Parlimen berkata, usul supaya Tajuddin dirujuk ke jawatankuasa itu disifatkan sebagai tidak adil.

“Tajuddin sebelum ini sudah meminta maaf, menarik balik kenyataan dan digantung daripada menghadiri Dewan Rakyat selama dua hari. Kenapa Pasir Salak perlu dirujuk (ke jawatankuasa) sedangkan beliau sudah menerima hukumannya?

“Keputusan ini seolah-olah mereka berdendam terhadap Pasir Salak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 8:06 PM