Abd Rahim membawa rumput dengan sampan ke kandang kambing yang terletak berhampiran rumahnya. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my


PENGEMBALA kambing sanggup meredah air pada paras lebih dua meter untuk memberi makanan kepada 15 ekor kambing ternakannya di Kampung Bukit Lata, Rantau Panjang hari ini.

Abd Rahim Latiff, 64, berkata, dia membina kandang kambing tinggi bagi mengelakkan ternakannya itu tenggelam ketika banjir kerana penempatan mereka sering dinaiki air.

Pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berkata, sejak banjir melanda setiap hari dia mengharungi banjir untuk ke kandang berhampiran rumahnya.

“Pada pagi saya menaiki perahu ke kawasan tidak ditenggelami air bagi memotong rumput sebelum membawanya ke kandang untuk diberi makan kepada haiwan ternakan saya.

“Selain kambing saya turut memelihara 20 ekor ayam dan lima kucing yang turut ditempatkan di kandang itu.

“Saya mengangkut rumput menggunakan sampan dan ada masanya berenang ke kandang bagi meninjau keadaan kambing,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Sementara itu, tinjauan mendapati banjir mulai surut di pekan Rantau Panjang namun masih melimpahi jalan di beberapa kawasan rendah seperti Kampung Tasek Bakong, Kampung Bukit Lata, Kampung Lachang dan Kampung Jeram Perdah.

Abd Rahim berkata, ketika banjir 2017 dia mengalami kerugian ribuan ringgit apabila 13 ekor kambingnya mati akibat ditenggelami banjir.

“Alhamdulillah, kali ini semua kambing peliharaan saya selamat namun banjir hampir memasuki kandang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 4:10 PM