AZIZAH menunjukkan permohonan wali hakim bagi perkahwinan Siti Hajar.
Oleh Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


WANITA mualaf buntu selepas gagal mengesan bapa kandung anak angkatnya yang dipelihara bagi urusan wali pernikahan.

Azizah Abdullah, 63, berkata, majlis perkahwinan anak angkatnya, Siti Hajar Sulaiman, 26, dengan pasangan dijangka berlangsung pada 28 Disember ini, namun mereka belum dapat menetapkan tarikh pernikahan berikutan gagal menemui bapa kandung gadis itu.

“Saya memelihara Siti Hajar pada usia tiga hari kerana ibu bapa Siti Hajar tidak mampu menjaganya.

“Selepas anak angkat diserahkan kepada saya di rumah kongsi di Pekan Baru, Sungai Petani, tiada khabar daripada mereka,” katanya ketika ditemui, semalam.

Azizah berkata, dia hanya mengenali bapa anak angkatnya dengan panggilan Sulaiman manakala ibunya bernama Ramzanbe Kariman dan kedua-duanya berusia 50-an.

Katanya, ketika anaknya itu masih kecil, gadis itu pernah menyuarakan hasrat untuk bertemu dengan ibu bapa kandungnya, namun dia tidak tahu di mana mereka berada.

“Saya hanya mengenali ibu bapanya melalui adik angkat yang bekerja berhampiran dengan rumah kongsi itu.

“Sejak mereka berpindah dari rumah kongsi itu, kami terus terputus hubungan dan saya tidak tahu ke mana mereka pergi,” katanya.

Azizah merayu lelaki berkenaan untuk tampil segera memandangkan persiapan perkahwinan hampir selesai termasuk kad jemputan sudah diedarkan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung lelaki berkenaan diminta menghubungi Azizah di talian 017-5279954.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 7:30 AM