BAKRI (depan dua dari kiri) pada Program Perindustrian Pertanian Negeri Sembilan 4.0, Bengkel Latihan Pertanian Pintar dan Projek Perintis, semalam.
Oleh Azzman Abdul Jamal
am@hmetro.com.my


KERAJAAN negeri akan menyediakan tanah seluas 2,023 hektar di Jelebu bagi melaksanakan projek pembangunan pertanian pintar dikenali sebagai Perindustrian Pertanian Negeri Sembilan 4.0.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir berkata, projek berjumlah RM1 bilion itu bakal menjadi penanda aras baharu untuk sektor pertanian dengan mengadaptasi penggunaan teknologi digital.

Katanya, projek perintis pertanian bersepadu itu dijangka bermula pada suku pertama 2020.

“Menerusi inisiatif ini, AusAgri Pty Ltd, sebuah syarikat pertanian Australia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Koperasi Pertanian Bersepadu Malaysia Bhd (InAgMa) untuk melaksanakan Projek Penternakan Lembu Bersepadu AustAgri-InAgMa.

“Tamil Nadu Agriculture Universiti (TNAU), rakan kongsi teknologi kepada InAgMa pula akan menggariskan panduan untuk berdepan perubahan iklim menerusi stesen cuaca automatik, pemetaan digital bagi penggunaan dron, serta penilaian kualiti air dan kesuburan tanah dalam projek ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Perindustrian Pertanian Negeri Sembilan 4.0, Bengkel Latihan Pertanian Pintar dan Projek Perintis, di sini, semalam.

Bakri berkata, InAgMa dengan kerjasama Pusat Pembangunan Latihan Negeri Sembilan (NSSDC) dan kerajaan negeri akan turut menganjurkan program latihan pertanian pintar untuk dimanfaatkan rakyat di negeri ini.

“Projek perintis itu dijangka mengambil masa dalam tiga hingga enam bulan. Selain daripada penternakan lembu, ia juga akan membabitkan beberapa jenis tanaman termasuk padi dan jagung.

“Kita yakin pelaksanaan projek itu mampu menarik lebih ramai pelabur ke Negeri Sembilan.

“Ia juga diharap mampu mendorong pertumbuhan sektor pertanian yang menjadi antara penyumbang utama kepada pendapatan hasil negeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 7:00 AM