KEADAAN banjir di Kampung Parit Betong, Parit Abd Hadi dan Parit Ju.
Oleh Adnan Ibrahim
am@hmetro.com.my


“SUDAHLAH kawasan kampung dilanda banjir lumpur, kini kami berdepan pula masalah banjir termenung,” ujar mangsa, Mohd Salim Samad, 40.

Menurutnya, dalam kejadian jam 3.45 petang kelmarin, kejadian hujan lebat luar biasa menyebabkan kawasan Kampung Parit Betong, Parit Abd Hadi dan Parit Ju di Simpang Kiri, Parit Sulong di sini, ditenggelami banjir lumpur sedalam hampir 0.5 meter.

“Kejadian banjir lumpur itu berlaku mendadak dan kebanyakan penduduk terpaksa keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

“Tidak sangka banjir turut menimpa daerah ini ketika tumpuan ramai terarah ke negeri di Pantai Timur yang dilanda musim bah ini,” katanya.

Menurutnya, walaupun hujan sudah berhenti namun kawasan kampung kini digenangi air hingga menyukarkan penduduk pulang ke rumah.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Batu Pahat dalam kenyataannya berkata, 54 penduduk membabitkan 13 keluarga menjadi mangsa banjir pertama di negeri ini.

Semua mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Agama Seri Comel, Seri Medan di sini, selepas kediaman mangsa terjejas teruk akibat banjir lumpur yang berlaku.

Sehingga jam 10 pagi semalam, semua mangsa sudah mendaftarkan diri untuk ditempatkan di PPS itu.

Katanya, walaupun keadaan cuaca bertambah baik semalam namun keadaan air tidak bergerak (termenung) menyebabkan pemindahan terpaksa dilakukan.

“Agensi terbabit dalam tugas menyelamat mangsa adalah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Polis dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Ketua Kampung Parit Abd Rahman, Baharudin Jalal dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pusat pemindahan membabitkan aspek keperluan dan kebajikan mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 6:01 AM