HASNUL Fadhly (enam dari kanan) bergambar bersama penerima Anugerah MYNIC Digital Adopter 2019. FOTO Khairunisah Lokman
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@hmetro.com.my

PROGRAM Latihan Penguasaan Pasaran Digital (PLPPD) yang disediakan MYNIC dilihat memberi impak ketara apabila berjaya membantu peningkatan pendapatan serta mampu bersaing dalam pasaran ekonomi digital yang lebih kompetitif.

Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Hasnul Fadhly Hasan berkata, platform itu disediakan seiring usaha ke arah mencapai status negara maju dengan landskap perniagaan global yang menjurus ke arah peralihan kepada ekonomi digital.

Katanya, MYNIC merancang pelbagai program dan inisiatif yang berteraskan ekonomi digital untuk usahawan relevan dengan persekitaran moden selain turut menyasarkan 1,000 usahawan kecil terbabit dalam PLPPD pada tahun hadapan.

"Sejak April sehingga Disember seramai 100 usahawan kecil terbabit dalam mentransformasikan perniagaan mereka dan Melaka menjadi projek perintis dan MYNIC menyasarkan pertambahan 1,000 usahawan untuk tahun hadapan selain dijangka akan diperluaskan ke Johor serta Selangor.

"Selain menyediakan modul latihan seperti membangunkan laman web, pemasaran melalui media sosial dan penambahbaikan kandungan dalam memasarkan perniagaan, MYNIC turut melakukan pemantauan berkala bagi memantau perkembangan serta kefahaman peserta," katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Program Latihan Penguasaan Pasaran Digital dan Kesedaran ANYCAST Jasin, di Ayer Keroh, Melaka.

HASNUL Fadhly (kanan) beramah mesra bersama pemenang utama Anugerah MYNIC Digital Adopter 2019, Nor Hazimah Hanapi. FOTO Khairunisah Lokman

Hasnul Fadhly berkata, MYNIC berhasrat menyediakan negara untuk masa depan digital selain ingin memastikan peluang lebih terbuka kepada inovasi digital dalam memacu ekonomi digital sebagai tonggak utama ekonomi Malaysia.

"Program ini bagi memberi tumpuan kepada golongan pinggir dan luar bandar khususnya B40 malah MYNIC turut menyediakan teknologi sokongan serba lengkap.

"Melalui PLPPD juga, laman web peserta yang terbabit akan dinaik taraf dengan teknologi ANYCAST ia secara tidak langsung akan memudahkan laman web untuk diakses dengan pantas," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, program ini adalah inisiatif MYNIC dalam membantu dan membawa perniagaan yang berasakan luar talian untuk membabitkan diri dengan perniagaan dalam talian (offline to online).

"Sebagai agensi dibawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), MYNIC memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi digital dengan peranan sebagai pendaftar dan pentadbir nama domain. MY," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 6:00 AM