Keadaan rumah papan yang hangus dalam kebakaran di Jalan Enggang 17, Taman Keramat di Kuala Lumpur malam tadi. (Gambar kanan) Anggota APM memberi rawatan awal kepada mangsa mengalami sesak nafas. Foto Ihsan APM
Khairul Najib Asarulah Khan
khairul.najib@hmetro.com.my

LELAKI melecur dan jirannya pula mengalami sesak nafas apabila sebuah rumah di Jalan Enggang 17, Taman Keramat di Kuala Lumpur terbakar malam tadi.

Ketua Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Leftenan Muda (PA) Muhammad Imran Hakim Rosman berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 10.30 malam.

Menurutnya, pihaknya dan mengerahkan satu ambulans bersama satu pacuan empat roda dengan kekuatan dua pegawai serta lapan anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba pihaknya mendapati anggota bomba sedang melakukan operasi memadam kebakaran rumah papan terbabit.

"Pada masa yang sama, seorang lelaki yang dipercayai jiran mangsa mengalami sesak nafas dan kami segera memberi rawatan awal sebelum mengejarkannya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.45 malam sebelum pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang, BBP Keramat, BBP Jalan Tun Razak, BBP Pandan dan dibantu dua tanker dari BBP Selayang serta BBP Wangsa Maju bergegas ke lokasi.

"Difahamkan ketika kejadian terdapat lima sekeluarga di rumah berkenaan dan seorang daripada mereka melecur di bahu.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut dengan ambulans Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Api berjaya dikawal dan padam sepenuhnya kira-kira sejam kemudian, rumah terbabit terbakar 100 peratus.

“Punca sebenar kejadian dan nilai kerugian yang dialami masih dalam siasatan dan penilaian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 1:42 AM