Masridzi (tengah) bersama wakil NGO yang hadir membuat laporan terhadap perhimpunan PKM di IPD Brickfields, Kuala Lumpur malam tadi. Foto Azhar Ramli
Khairul Najib Asarulah Khan
khairul.najib@hmetro.com.my

LAPAN pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak pihak berkuasa segera mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang dikesan cuba menghidupkan kembali ideologi komunis.

NGO berkenaan terdiri daripada Sekretariat Gabungan Silat Pertahan Perlembagaan (PERTAHAN), Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Armada Melayu, BADAR Bandar Tun Razak, Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) Pahang, Parti Bumiputera Perkasa, Muafakat dan Aktivis Busana Melayu.

Presiden PERKID Masridzi Sat berkata, pihaknya bimbang jika ideologi fahaman itu cuba dihidupkan semula sama ada secara halus atau terang-terangan.

Menurutnya, seharusnya perkara sedemikian tidak wujud yang mana pihak berkenaan dilihat semakin berani dan seolah mencabar pihak berkuasa.

“Bermula isu komik yang diedarkan kepada pelajar, abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng dibawa masuk Malaysia dan terbaru perhimpunan memperingati Ulang Tahun Ke-30 Perjanjian Damai Hatyai antara Kerajaan Malaysia dan PKM di Kajang.

“Perkara sebegini sebelum ini tidak pernah berlaku yang mana sejak kebelakangan ini ia dilihat semakin aktif.

“Kita bimbang jika ada gerakan yang cuba dihidupkan semula kumpulan pengkhianat negara ini,” katanya kepada media malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Kuala Lumpur.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu segera bertindak dan mengesan siapa dalang terhadap perkara berkenaan.

“Ramai pejuang negara yang terkorban angkara PKM. Oleh itu, pihak berkuasa perlu segera menjalankan siasatan dan menahan serta mendakwa mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berkenaan.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan hampir 400 orang termasuk bekas ahli kumpulan pengganas PKM mengadakan perjumpaan di sebuah dewan di Kajang.

Perjumpaan pada 10.15 pagi itu diadakan bagi memperingati ulang tahun perjanjian damai yang ditandatangani pada 2 Disember 1989.

Berita berkaitan

Saya pun risau - Muhyiddin

Hadir atas dasar peribadi - ADUN Sungai Pelek

400 termasuk bekas ahli PKM bertemu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 1:10 AM