Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


KEADAAN banjir di Terengganu terus meningkat dengan 5,873 mangsa dari 1,736 keluarga pada 9 pagi hari ini berbanding 4,578 mangsa dari 1,296 keluarga yang dicatatkan 12.30 tengah malam tadi.

Jumlah pusat penempatan sementara (PPS) juga turut meningkat daripada 97 PPS kepada 121 PPS yang di buka membabitkan tujuh daerah, hari ini.

Berdasarkan laporan Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Besut mencatatkan mangsa paling ramai membabitkan 1,818 individu dari 491 keluarga dengan 46 PPS di buka di daerah berkenaan.

PENDUDUK menaiki bot membawa peralatan rumah menuju ke Pusat Pemindahan Sementara selepas rumah mereka dinaiki air di Kampung Nyatuh, Permaisuri. FOTO Ghazali Kori

Hulu Terengganu pula mencatatkan seramai 1,784 mangsa dari 561 keluarga ditempatkan di 32 PPS.

Setiu pula yang mencatatkan 1,691 mangsa membabitkan 523 keluarga ditempatkan di 98 PPS.

Di Dungun seramai 343 mangsa dari 98 keluarga dipindahkan ke lapan PPS di daerah berkenaan.

Kemaman pula mencatatkan seramai 150 mangsa membabitkan 44 keluarga dengan tiga PPS yang beroperasi.

Manakala di Marang seramai 71 mangsa dari 16 keluarga dicatatkan berpindah di dua PPS yang di buka di daerah itu.

Sementara di Kuala Nerus pula mencatatkan seramai 16 individu dari tiga keluarga ditempatkan di dua PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 10:03 AM