KEADAAN treler yang terbalik di Kilometer 27.9 di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


SEBUAH treler terbalik di Kilometer (KM) 27.9 menyebabkan laluan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) menghala Plaza Tol Gombak mengalami kesesakan lebih enam kilometer.

Info Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM Info Trafik) berkata, kemalangan berlaku pada 3.53 pagi hari ini apabila treler terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik dan menutupi laluan tiga lorong lebuh raya itu.

Katanya, lorong kiri dan lorong tengah laluan berkenaan hanya dapat dibuka kepada lalu lintas pada 8 pagi tadi sebaik sebahagian tumpahan serta sebahagian badan treler dapat dialihkan.

“Disebabkan kemalangan membabitkan treler itu, hanya dua lorong sahaja dapat dibuka untuk laluan pengguna menghala ke arah Plaza Tol Gombak membabitkan lorong paling kiri dan lorong tengah.

“Manakala lorong paling kanan masih terhalang menyebabkan trafik bergerak perlahan dan kerja pembersihan kawasan itu masih berjalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemandu treler terbabit hanya cedera dan diberikan rawatan di lokasi oleh paramedik.

Justeru, pihak Info Trafik LLM menasihatkan orang ramai untuk mematuhi arahan petugas lalu lintas di lokasi bagi mengelakkan kesesakan lebih teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 9:04 AM