KEADAAN pintu pejabat Ahli Parlimen Johor Bahru yang disimbah cat merah serta ditinggalkan bangkai ayam di hadapan pejabat mangsa. FOTO Ihsan Wakil Rakyat
Mary Victoria Dass
maryvictoriadass@hmetro.com.my


PEJABAT Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, 33, di Larkin Idaman, Johor Bahru, disimbah cat merah serta ditinggalkan bangkai ayam pagi hari ini oleh pihak tak bertanggungjawab.

Akmal berkata, kejadian dipercayai bermotifkan ugutan itu disedari kakitangan pejabatnya pada 7.20 pagi.

“Saya dimaklumkan oleh pekerja yang ingin masuk ke pejabat di Larkin Idaman bahawa pintu masuk disimbah cat dan dibuang bangkai ayam.

“Malah ia besertakan pesanan didapati berbaur ugutan dicampak di hadapan pintu,” katanya.

Akmal yang juga Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, susulan insiden itu satu laporan polis dibuat pekerjanya di Balai Polis Sentral.

“Saya menyerahkan kes itu kepada polis untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu terbabit,” katanya.

Terdahulu Akmal menerusi kenyataan media berkongsi insiden Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru diugut dengan cat merah dan bangkai ayam pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 11:10 AM