MASJID Daing Abdul Rahman di Nusa Idaman, Johor. FOTO Mustafa Kamal
Rosyahaida Abdullah
am@hmetro.com.my


MASJID Daing Abdul Rahman menjadi satu-satunya masjid di Malaysia yang disenarai pendek bagi Anugerah Seni Bina Masjid Abdullatif Alfozan (AFAMA 2019) yang bakal melalui proses penilaian akhir, minggu depan.

Masjid berkonsepkan rekaan futuristik yang terletak di Nusa Idaman, Johor itu akan melalui proses pembentangan oleh Penilai Teknikal dari Pakistan, Hammad Husain.

Menurut Hammad, pemilihan masjid itu dibuat berdasarkan keunikannya yang dilihat bukan sekadar tempat ibadat, malah mempunyai pelbagai aktiviti untuk komuniti sekitar.

“Di negara saya, kebanyakan masjid hanya digunakan untuk solat lima waktu dan solat Jumaat.

“Ia akan ditutup dan dikunci sejurus selesai solat.

“Berlainan dengan masjid di Malaysia, kebanyakannya menjalankan pelbagai aktiviti untuk komuniti setempat dan sekitar.

“Seperti masjid ini, ia terbuka kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama, tidak terhad kepada Islam saja. Keraian membabitkan komuniti lain agama turut diadakan di situ, sejajar konsep bermasyarakat dianjurkan Islam.

“Selain untuk aktiviti masyarakat, program pendidikan dan sukan seperti kelas fardu ain, kelas memasak serta kelas memanah turut diadakan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung AFAMA 2019, Prof Mashary Abdullah AlNaim berkata, 201 masjid dicalonkan pada peringkat awal membabitkan 48 negara Islam.

Menurut beliau, jumlah itu melalui proses penjurian awal di Paris, Perancis awal tahun ini sebelum menyenarai pendek 27 masjid membabitkan 16 negara termasuk Masjid Daing Abdul Rahman di Malaysia.

“Antara aspek dinilai dalam penganugerahan ini termasuk reka bentuk seni bina yang bermotifkan budaya, seni dan kesusasteraan Islam.

“Kami memilih antara enam hingga 10 pemenang yang masing-masing akan membawa pulang wang tunai AS$100,000 (kira-kira RM417,000) berserta trofi dan sijil,” katanya.

Pembentangan semua calon akhir dilakukan pada Persidangan Antarabangsa Seni Bina Masjid (ICMA 2019) yang akan dirasmikan anakanda Raja Arab Saudi iaitu Sultan bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud di Muzium Kesenian Islam Malaysia, di sini.

Masjid yang tercalon bagi peringkat akhir akan dipamerkan menerusi Pameran MAQAMAT selama dua bulan bermula Isnin depan sebelum pemenang diumum Mac tahun hadapan di Riyadh, Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 5:00 AM