HANIZAMAL ke Aokigahara, Jepun bagi menjayakan Solo Ambush.
Redzuan Muharam
am@hmetro.com.my


DEMI merungkai kebenaran di sebalik kisah mistik, ada individu yang sanggup melabur ribuan ringgit untuk mengembara ke dalam dan luar negara bagi menjejak kewujudan ‘penghuni’ alam ghaib.

Malah, bukan saja wang ringgit tetapi individu terbabit juga tidak gentar melakukan aktiviti itu berseorangan sekali pun berdepan risiko yang boleh mengancam keselamatan diri.

Salah seorang yang aktif melakukan aktiviti ini, Hanizamal Abu Hanifah, 41, mengakui gembira kerana impiannya untuk melakukan misi penyiasatan entiti secara solo di hutan Aokigahara, Jepun baru-baru ini, tercapai.

Menurut Hanizamal, misi itu amat istimewa kerana kali pertama dia meneroka tempat mistik di luar negara sejak aktif dalam aktiviti penyiasatan entiti.

“Saya mengambil masa selama dua bulan untuk mengumpul wang bagi menjayakan misi berkenaan dan sebahagiannya diperoleh hasil sumbangan pengikut di Facebook.

“Saya tak fikir ini kerja gila sebaliknya teruja kerana dapat keluar daripada zon selesa selepas sekian lama meneroka tempat dalam negara selain mencari sendiri kebenaran tanpa hanya mendengar dakwaan semata-mata.

HANIZAMAL ketika menjayakan misi pencarian entiti secara solo.

“Sebenarnya, ada beberapa lokasi yang menjadi pilihan saya dan akhirnya memilih Aokigahara, Jepun selepas mengambil kira faktor jarak dan kos perbelanjaan sepanjang berada di sana,” katanya yang kini bertugas sebagai pengurus jurutera di Vietnam.

Berkongsi pengalamannya ketika menjayakan misi berkenaan, Hanizamal berkata, kedatangannya ke situ mengejutkan penduduk tempatan kerana tiada siapa berani menghampiri kawasan berkenaan melainkan mereka yang ada niat untuk membunuh diri.

Namun, misi bapa tiga anak itu berjalan lancar dan tidak sia-sia kerana mendakwa berjaya merakam gambar entiti selain suara ketika berada di dalam hutan yang mendapat jolokan Suicide Forest.

“Sehari selepas tiba di Jepun, saya terus ke Aokigaraha bagi meninjau dan memeriksa kawasan yang mempunyai akses jaringan Internet serta sesuai dijadikan tempat rakaman yang dibuat menerusi Facebook Live.

“Berdasarkan tinjauan itu, saya bahagikan kawasan kepada empat zon mengikut tahap keseraman dan liputan Internet bagi memudahkan perjalanan serta proses rakaman dilakukan.

“Tiada penampakan atau kelibat yang saya temui tetapi ada terdengar suara orang meraung ketika rakaman dilakukan selain sepasang mata di pokok.

NOORFAIZAL ketika meneroka kawasan berhantu pada waktu malam.

“Jujurnya, saya tidak kecewa sebaliknya puas dan jika ada rezeki, saya mahu meneroka tempat mistik lain pula pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Noorfaizal Rozi@Pozi, 38, berkata, dia mula aktif dalam aktiviti paranormal sejak pertengahan 2015 dan pembabitannya didorong oleh minat serta keinginan bertemu empat mata dengan entiti yang dicari.

Noorfaizal berkata, kebiasaannya, dia melakukan misi pencarian secara solo dengan hanya bertemankan kamera dan beberapa peralatan yang digunakan untuk merakam perjalanannya sepanjang berada di sesuatu lokasi.

“Ketika kecil, saya gemar mengikut ayah mencari harta karun di sekitar kampung dan pada waktu itu, kami ada menemui tembikar dan beberapa barangan lama tetapi diganggu apabila makhluk berkenaan datang meminta untuk memulangkannya semula.

“Sejak itu, timbul minat untuk meneroka lagi dunia misteri menerusi aktiviti paranormal dan lokasi terawal yang saya kunjungi bersama rakan adalah banglo Villa Nabila di Johor Bahru.

“Namun, tiada rakaman dibuat ketika itu memandangkan teknologi juga tidak canggih seperti sekarang sehingga pertengahan 2015 apabila saya terfikir untuk berkongsi rakaman video sepanjang misi menerusi saluran Youtube sendiri.

NOORFAIZAL bergambar di dalam bangunan terbiar.

“Bertitik tolak dari situ, pengikut saya bertambah dan menariknya, mereka yang berkongsi maklumat tempat misteri tetapi tidak semuanya akan saya kunjungi kerana perlu melakukan kajian terlebih dulu selain meminta kebenaran serta bantuan penduduk setempat sekiranya ia adalah kawasan larangan,” katanya.

Menurutnya, selain berdepan risiko keselamatan ketika membuat rakaman, dia juga perlu bersiap sedia dari segi kewangan kerana harus menanggung sendiri kos perjalanan dan penginapan untuk ke sesuatu lokasi.

“Bagaimanapun, ada juga pengikut yang sanggup membantu dari segi kewangan kerana mahu saya merungkai misteri di lokasi dicadangkan.

“Setakat ini, saya sudah ke beberapa lokasi berhantu terkenal di Semenanjung dan banyak pengalaman dilalui termasuk gangguan oleh makhluk berkenaan tetapi saya ketepikan rasa takut kerana minat.

“Keluarga faham dan saya puas kerana dapat berkongsi minat dengan pengikut di platform digital serta akan teruskan aktiviti ini kerana salah satu tujuannya adalah mengajak orang ramai percaya kewujudan jin dan syaitan tetapi tidak keterlaluan hingga menyekutukan Allah S.W.T,” katanya yang akan menjalin kerjasama dengan syarikat pelancongan untuk mewujudkan pakej pelancongan ke lokasi berhantu di dalam dan luar negara.

NOORFAIZAL ketika menjalankan misi pencarian entiti secara solo pada waktu malam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 4:45 AM