Penyebaran video itu cubaan memburukkan reputasi negara. FOTO Hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


PENYEBARAN video menunjukkan beberapa individu dipercayai warga Indonesia dicederakan beberapa orang dipercayai rakyat Malaysia yang didakwa berlaku di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil cubaan untuk memburukkan reputasi negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, video itu dibuat bertujuan menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia.

Menurutnya, kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 susulan satu laporan yang menggesa polis menyiasat kesahihan video berdurasi 48 saat berkenaan.

“Kita menerima maklumat penularan video di media sosial menunjukkan beberapa individu warga Indonesia dicederakan warga Malaysia didakwa ada kaitan dengan perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa lalu.

“Berdasarkan siasatan awal, polis percaya insiden terbabit tidak berlaku di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Penyebaran video itu dipercayai dibuat dengan niat memburukkan reputasi Malaysia serta menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Huzir berkata, video itu juga dilihat mempunyai agenda untuk memudaratkan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Indonesia.

“Sehingga kini, polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menjalankan siasatan terperinci berkenaan video terbabit.

“Mangsa yang dipaparkan di dalam video itu juga diminta tampil membuat laporan polis.

“Mana-mana individu yang menjadi saksi atau mempunyai maklumat insiden itu juga diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga dinasihat untuk tidak menyebarkan video itu kerana dikhuatiri mampu mencetuskan kemarahan masyarakat di negara ini mahupun Indonesia.

“Hubungan baik kedua-dua negara tidak sewajarnya dicalarkan dengan penyebaran video yang tidak diketahui kesahihannya ini,” katanya.

Berita berkaitan

Video penyokong Garuda dipukul palsu!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 1:05 AM