FOTO Hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


WANITA warga Vietnam dikhuatiri hilang dan sesat dalam hutan di kawasan Teluk Jawa berhampiran Tokong Thailand dekat Jalan Rengas, Pasir Gudang hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima maklumat 5.56 petang tadi memaklumkan wanita itu tidak ditemui selepas berlari masuk ke dalam hutan.

“Bertindak atas maklumat itu, polis segera ke lokasi dan menghubungi bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang untuk operasi mencari dan menyelamat,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang bekerja di sebuah kilang di Pasir Gudang dibawa oleh penyelia dan rakan-rakannya ke tokong berkenaan pada 5 petang.

“Mangsa dibawa ke tokong itu untuk mendapatkan rawatan tradisional dan ketika menerima rawatan, mangsa dengan tiba-tiba dikatakan melarikan diri serta masuk ke hutan itu.

“Usaha mencari mangsa oleh rakan-rakannya gagal dan mereka menghubungi polis untuk meminta bantuan,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, 10 pegawai dan anggota polis serta 11 anggota bomba masih berada di lokasi dan usaha mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan termasuk bantuan rakan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 12:48 AM