Gambar Hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


TINDAKAN lelaki memecah masuk sebuah pangsapuri di Taman Pusat Kepong, Kuala Lumpur mengundang padah apabila ditahan orang ramai sebelum diserahkan kepada polis semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, pemilik rumah berusia 23 tahun itu yang pulang ke rumahnya pada 1 tengah hari melihat suspek berada di dalam rumah dengan memegang pisau.

Menurutnya, mangsa terus mengunci semula pintu rumah dan lari untuk meminta bantuan.

“Pengawal keselamatan kemudian masuk ke dalam rumah namun suspek sudah tiada sebelum pemeriksaan mendapati mangsa memasukkan barang dicuri dalam beg.

“Mangsa juga mendapati keadaan ketiga-tiga bilik berselerak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

S Shanmugamoorthy berkata, mangsa bersama rakannya terserempak dengan suspek di bawah blok dan terus mengejar sebelum membaling kayu menyebabkannya terjatuh.

“Kejadian terlalu pantas dan mangsa dapati orang ramai memukul suspek sebelum pengawal keselamatan hubungi polis mendapatkan bantuan,” katanya.

Beliau berkata, polis yang tiba tidak lama kemudian menahan dan membawa suspek ke Balai Polis Kepong.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 12:19 AM