Laporan portal berita Harian Metro hari ini.
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


KURANG lima jam berada di Pulau Basilan, sukarelawan Muslim Care Malaysia (Muslim Care) diarahkan meninggalkan pulau itu malam ini.

Arahan itu dikeluarkan pihak berkuasa Filipina kerana mendakwa Muslim Care gagal mendapatkan kebenaran beberapa autoriti lain untuk menghantar bantuan kemanusiaan.

Walaupun berusaha memberikan penjelasan selain mengemukakan surat kebenaran dari Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Pulau Basilan namun ia masih gagal meyakinkan pihak berkuasa tentera.

Sukarelawan Muslim Care kemudian diiringi tentera kerajaan ke jeti sebelum diminta menaiki bot keluar dari Pulau Basilan dan dikehendaki bermalam di Zamboanga.

Presiden Muslim Care, Zulkifli Wajihan berkata, pihaknya sudah mematuhi prosedur yang dikehendaki pihak berkuasa negara itu termasuk Gabenor di Basilan.

“Kami sudah mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa sejak sebulan lalu namun kerenah birokrasi menyukarkan usaha ini.

“Namun selepas selesai urusan dokumentasi dengan pihak berkuasa tentera kami dikejutkan apabila mereka tidak membenarkan kami meninggalkan jeti untuk bergerak ke Baranggay Seringgon Mohd Ajul yang menjadi lokasi misi kali ini atas alasan keselamatan,” katanya.

Zulkifli berkata, sukarelawan akhirnya selamat tiba kembali di Pelabuhan Zamboanga 8.30 malam ini dengan menaiki bot laju diiringi tentera.

Katanya, sukarelawan akan tidur di Zamboanga malam ini sebelum mencuba sekali lagi masuk esok dan berharap kebenaran dapat diberikan pihak berkuasa dalam waktu terdekat.

Muslim Care menerusi Misi Kebajikan Kesihatan dan Pembangunan Maahad Tahfiz Al Ansor menyantuni masyarakat Islam di Pulau Basilan.

Pelbagai bantuan kesihatan dan kebajikan akan diberikan kepada masyarakat Islam di pulau berkenaan yang hidup dalam serba kekurangan.

Pulau Basilan kini sudah memiliki kuasa autonomi yang ditadbir MILF dan pernah dilabelkan kubu kuat militan oleh media barat.

Berita berkaitan

Pemeriksaan ketat jamin keselamatan

Santuni masyarakat Islam Pulau Basilan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 10:19 PM