Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


POLIS menahan dua rakan dipercayai memecah masuk kedai serbaneka di sekitar Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian 10 pagi itu, suspek yang masing-masing berusia 25 dan 24 tahun ditahan selepas polis mengejar kenderaan yang dinaiki mereka di Jalan Sungai Lembing.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusuf Ali berkata, anggota Unit Risikan Jenayah (URJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan sebelum itu melakukan pemerhatian ke atas kereta jenis Proton Wira yang dinaiki seorang lelaki dan wanita.

“Kereta itu diletakkan di taman permainan di Cenderawasih dan sebaik sahaja dihampiri, suspek bertindak memecut kenderaannya serta cuba melanggar anggota kita.

“Kita terpaksa melepaskan satu tembakan dan mengenai tayar kiri belakang kereta suspek sebelum berjaya menahan mereka di hadapan sebuah hospital swasta di Jalan Sungai Lembing,” katanya, hari ini.

Mohamad Noor berkata, siasatan pihaknya mendapati kedua-dua suspek mempunyai kaitan dengan lima lagi suspek yang ditahan pada 14 November lalu.

“Kita percaya mereka ini adalah satu kumpulan dan suspek lelaki yang ditahan hari ini adalah ketua kumpulan berkenaan.

“Siasatan mendapati suspek mengaku memecah masuk beberapa kedai serbaneka termasuk di Indera Sempurna, Bukit Setongkol dan Balok serta Beserah,” katanya.

Beliau memberitahu, suspek lelaki yang beralamat di Taman Tas itu turut mempunyai empat rekod kes lampau membabitkan jenayah dan dadah.

“Mereka disiasat Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan reman akan dipohon esok,” katanya yang memberitahu seorang anggotanya mengalami kecederaan di kaki kiri semasa menahan suspek dan masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 9:38 PM