Laporan portal berita Harian Metro semalam.
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


JANGAN persoalkan keikhlasan pendakwah dalam menjalankan kerja agama.

Itu pandangan penceramah bebas, Ustaz Haslin Baharim atau Ustaz Bollywood berkaitan isu harga tinggi perlu dibayar penganjur untuk mendapatkan penceramah selebriti bagi program atau kuliah agama.

Katanya, isu seperti itu ditimbulkan oleh individu yang tidak berpuas hati dengan bayaran diterima sebahagian penceramah bebas di negara ini sedangkan ia sudah pun dipersetujui secara bersama dengan penganjur.

Menurutnya, apa yang berlaku ialah mungkin terdapat isu lain pada penganjur seperti jumlah kutipan tabung masjid dan sebagainya sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati mengenai caj berkenaan.

“Kami sebagai penceramah bergerak ke seluruh negara. Sudah tentu ada kos. Perkara ini dibincang dengan mana-mana penganjur.

“Andai kata mereka setuju, kita hadir dan begitulah sebaliknya. Mungkin ada yang letak harga tinggi, tetapi jika tidak setuju, mereka boleh tolak, bukannya mewar-warkannya kerana ia boleh menimbulkan pandangan negatif.

“Saya juga hairan kenapa Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak siasat atau panggil individu yang dikaitkan ini untuk berbincang atau menegur jika benar ada aduan.

“Sebelum ini, tak pernah timbul masalah seperti ini kerana ia adalah persetujuan bersama. Lagipun, ini adalah sebahagian daripada dakwah,” katanya.


Ustaz Haslin menyatakan bayaran diterima penceramah bebas dipersetujui secara bersama dengan penganjur. FOTO Arkib NSTP

Harian Metro semalam melaporkan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan ada penceramah selebriti mengenakan caj sehingga RM40,000 untuk program agama dan RM3,000 ke atas untuk kuliah selepas solat fardu sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai.

Penasihat Agama dan Media PPIM Tuan Asmawi Tuan Umar berkata, pihaknya menerima aduan seumpama itu sejak lima tahun lalu dan merasa terpanggil untuk membuat teguran kerana ia boleh memberikan gambaran negatif terhadap Islam secara keseluruhan.

Beliau turut mempersoalkan mengenai keikhlasan penceramah atau pendakwah di dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat dengan kadar yang begitu tinggi di sesetengah tempat terutama Lembah Klang.

Sementara itu pensyarah Fiqh Makanan Semasa di Pusat Kajian Syariah Fakulti Pengajian Islam UKM Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, setiap penceramah ada hak menetapkan nilai yang munasabah mengikut keperluan mereka.

Ia termasuk kos kenderaan, pemandu, minyak, tol, makan minum, hotel, kos penyelenggaraan kenderaan, zakat dan takaful keluarga.

“Namun perlu diingatkan bahawa mereka bertanggungjawab dengan perkara itu memandangkan ia adalah bidang kerja untuk agama, bangsa dan negara,” katanya.

Katanya, sepanjang menguruskan program masjid atau surau, belum pernah ada penceramah meletakkan harga hingga RM40,000.

“Saya khuatir ia satu fitnah ke atas penceramah yang siang malam berdakwah sedangkan apa yang mereka dapat tak sampai pun sebanyak itu.

“Saya sebagai pensyarah pengajian Islam di UKM, sentiasa memikirkan masa depan graduan pengajian Islam yang pastinya selepas ini mereka akan mempunyai komitmen kewangan yang tinggi seperti PTPTN, kereta, anak isteri dan sebagainya.

“Hari ini, untuk bertemu dengan doktor di klinik pun perlu dibayar setimpal dengan kepakarannya.

“Adakah doktor pakar di hospital menetapkan kos pertemuan itu tidak ikhlas? Saya yakin mereka ikhlas,” katanya.

Berita berkaitan

Caj RM40,000 untuk berceramah! [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 8:17 PM